AGENDAJENAYAH

Inspektor wanita ditahan polis, satu lagi klip video tersebar

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Pegawai polis wanita yang dirakam menghina anggota bawahan sebelum klip video insiden itu tular sejak Khamis lalu, hari ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berhubung dua kertas siasatan yang dibuka terhadapnya.

Wanita berpangkat inspektor itu ditahan ketika hadir di IPD berkenaan untuk dirakam percakapan berkait siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pegawai itu dipanggil kali pertama semalam ke IPD berkenaan berhubung insiden pertengkaran dengan dua anggota polis di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lalu dan hari ini, sekali lagi dia hadir di IPD sama.

“Semalam dia dipanggil (ke IPD Gombak) dan hari ini, dia ditahan di IPD berkenaan berhubung dua kertas siasatan yang dibuka terhadapnya,” katanya lapor Berita Harian hari ini.

Hussein memaklumkan, pegawai itu disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menggunakan perkataan kurang sopan, aib atau menghina.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi klip video tersebar membabitkan pegawai polis sama yang bertengkar dengan orang awam di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields.

Susulan kejadian dipercayai sekitar jam 5.30 petang kelmarin itu, seorang wanita membuat laporan di IPD Brickfields, antara lain mendakwa pegawai berkenaan memarahinya dan keluarga selain turut menuding jari ke arah kepalanya.

Dalam klip video terbaharu yang tular sejak semalam itu, pegawai terbabit dilihat turut merakam orang awam berkenaan dengan telefon bimbitnya, malah didakwa hampir tercetus kejadian tidak diingini, namun sempat dihalang orang ramai di lokasi.


Pengarang :