Exco Hal Ehwal Agama, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap ketika Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 anjuran Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) di Masjid Negeri, Shah Alam pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jais lulus sekolah agama persendirian penuhi syarat PBT

SHAH ALAM, 22 JUN : Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meluluskan pendaftaran sekolah agama persendirian yang memenuhi syarat pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan ketetapan berkenaan berkuat kuasa mulai tahun ini berikutan kelonggaran telah diberi selama dua tahun sejak 2021.

“Namun pada tahun ini, Jais bertegas untuk tidak menerima pendaftaran akademik dari sekolah agama persendirian yang gagal mendapat ulasan PBT,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menegaskan pentadbiran negeri bersungguh-sungguh membantu sekolah agama persendirian untuk kekal beroperasi, beliau mengakui syarat kelulusan setiap PBT berbeza.

“Syarat yang lebih ketat ditetapkan oleh PBT di kawasan bandar memandangkan wujud isu kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara serta bunyi,” katanya lagi.

Mohd Zawawi menjelaskan pengusaha sekolah juga diajak berbincang dan diberi penerangan berkaitan program pemutihan termasuk syarat kelulusan PBT sejak 1 Januari 2021.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang disertai 478 institusi sekolah agama persendirian dalam hal itu.

Pada 16 Jun lalu, Mohd Zawawi menyatakan garis panduan sekolah agama sedemikian ditambah baik bagi mempermudah operasi institusi tersebut seterusnya meningkatkan tahap keselamatan murid.

Katanya, panduan itu dibuat pada 2019 berasaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ekoran tragedi kebakaran yang meragut nyawa 23 murid.

Katanya, tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2021 diberi kepada sekolah agama demikian untuk memenuhi garis panduan itu selain mempertimbang lanjutan tiga tahun kepada 416 sekolah agama.


Pengarang :