EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud meninjau program saringan kesihatan percuma untuk mengesan barah pangkal rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Jelajah saringan kesihatan percuma berakhir di DUN Sungai Kandis Ahad ini

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 14 JUN: Jelajah saringan kesihatan percuma fasa dua yang dilaksana bermula hujung bulan lalu akan berakhir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 18 Jun.

Berlangsung di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Shah Alam, Kampung Bukit Naga, EXCO kesihatan awam menggalakkan penduduk setempat membuat pemeriksaan bermula 9 pagi hingga 3 petang.

“Jangan lepaskan peluang meliputi pemeriksaan fizikal, ujian darah, air kencing, saringan barah, mata, gigi, telinga dan fisioterapi,” kata Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi melaksana program Selangor Saring untuk membantu rakyat mengesan awal jangkitan penyakit khasnya yang mempunyai sejarah perubatan keluarga.

Turut disasarkan individu obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat dengan tempahan janji temu boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Merekodkan 22,767 peserta sejak dilancarkan tahun lalu, sekitar 68 peratus individu dikesan menghidap penyakit kencing manis, kolesterol tinggi atau kedua-duanya.

 

 


Pengarang :