Borhan Aman Shah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jemaah haji DUN Tanjung Sepat dipelawa mohon insentif RM500

SHAH ALAM, 6 JUN: Jemaah haji di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat digalakkan memohon insentif Haji Muassasah bernilai RM500.

Ahli Dewan Negerinya Borhan Aman Shah berkata kuota bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri masih ada kekosongan dan jemaah masih dibenarkan memohon.

“Kita ada menerima beberapa nama memohon insentif ini, bagaimanapun permohonan masih lagi dibuka kepada jemaah yang berlepas awal ke Mekah.

“Mereka boleh datang ke pejabat dan memohonnya selepas pulang ke tanah air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 3,000 jemaah menerima insentif RM500 haji muassasah khusus untuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut mengagihkan kit syifa seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir.

Permohonan inisiatif itu dibuka mulai 19 Mei tetapi bagi jemaah yang berlepas awal, mereka masih layak dan boleh membuat permohonan selepas pulang.

Antara syarat permohonan ialah warganegara Malaysia yang beralamat di Selangor atau telah mendaftar haji di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji di Selangor.

Pemohon yang beralamat di luar Selangor (kad pengenalan) tetapi menetap di Selangor masih boleh memohon insentif ini dengan syarat mengemukakan dokumen sokongan seperti bil air, api atau cukai pintu yang tertera nama pemohon.

Pemohon juga perlu mendapat pengesahan penawaran menunaikan haji muassasah tahun ini dari Lembaga Tabung Haji negeri Selangor.


Pengarang :