Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bergambar kenangan di Pameran Perdagangan dan Hospitaliti Hong Kong (HOFEX) 2023. Foto Facebook PKNS Mexpro – Market Accelerations For Export & Retail Products
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sembilan usahawan PKNS dapat peluang pasar produk di Hong Kong

SHAH ALAM, 6 JUN: Seramai sembilan usahawan berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi penyertaan Pameran Perdagangan dan Hospitaliti Hong Kong (HOFEX) 2023 di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pengurus Besar Kanan Keusahawanan PKNS Azilah Arasad @ Arshad berkata ia merupakan penyertaan pertama usahawan yang lahir dari program PKNS dapat peluang terokai pasaran antarabangsa.

“Seramai sembilan usahawan mengikuti delegasi PKNS ke HOFEX 2023 ini antaranya pengeluar produk patin tempoyak, kordial jus buahan, bubur segera, minyak pati, snek, biskut, minuman sarang burung, pes makanan dan kek.

“Menerusi penyertaan mereka dari 10 hingga 12 Mei telah berjaya memperolehi pelbagai pendekatan jaringan perniagaan daripada pengunjung serta pengusaha makanan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azilah, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan wakil Perbadanan Pembangunan Luar Bandar Malaysia (MATRADE) Hong Kong serta beberapa syarikat keusahawanan untuk menerokai peluang yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

“Perbincangan untuk sertai festival dan pameran makanan dan minuman antarabangsa yang bakal dianjurkan penghujung tahun ini.

“Ia merupakan platform terbaik kepada usahawan PKNS bagi menembusi pasaran Hong Kong, Macau dan China,” katanya.


Pengarang :