EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim membantu membungkus barangan asas yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jimat belanja dapur, empat juta rakyat dapat manfaat jualan murah

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 7 JUN: Program jualan murah barangan asas yang dilaksana Kerajaan Negeri memanfaatkan empat juta rakyat negeri ini terutama golongan berpendapatan rendah, kata EXCO industri asas tani.

Menurut Ir Izham Hashim, Jelajah Ehsan Rakyat yang kini dikenali sebagai Jualan Ehsan Rahmah (JER) turut membantu rakyat berjimat 30 peratus berbanding harga pasaran untuk membeli barangan dapur.

“Selangor satu-satunya Kerajaan Negeri yang menganjurkan program intervensi barangan asas iaitu JER secara menyeluruh di setiap daerah di negeri ini sejak tahun lalu.

“Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta dengan hampir empat juta rakyat Selangor menerima manfaat tersebut,” katanya menerusi Facebook.

Program yang dimulakan akhir tahun lalu diteruskan hingga 1 September, kali ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Beliau menambah JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), anak syarikat Kerajaan Negeri, mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta sejak pelaksanaannya.

 


Pengarang :