Orang ramai membeli barang keperluan asas di Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 24 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan Mega Aidiladha di enam lokasi hari ini, sedia 12,000 ekor ayam

SHAH ALAM, 25 JUN: Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha diadakan di enam lokasi hari ini dengan menawarkan lebih banyak barangan asas termasuk 12,000 ekor ayam dan 6,000 papan telur.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan barangan asas itu diadakan di Parlimen Tanjung Karang (Dewan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing), Parlimen Sabak Bernam (Tapak Pasar Sehari Pekan Sabak) dan Parlimen Hulu Selangor (Dataran Niaga Serendah).


Enam lokasi Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha pada 25 Jun 2023 yang menawarkan lebih banyak barangan asas. Foto Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS

Selain itu ia turut diadakan di Parlimen Shah Alam (Dewan MBSA Sungai Gapis), Parlimen Kuala Selangor (Masjid Jamek Sultan Ibrahim) dan Parlimen Kuala Langat (No 116, Jalan 2 Taman Damai Indah, Banting).

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif PKPS memaklumkan agensi itu menambah kuantiti ayam 12,000 ekor dengan 2,000 ekor di setiap lokasi, selain menambah barangan lain seperti telur, ikan, beras dan minyak sebanyak 6,000 unit atau pek (1,000 unit setiap lokasi).

Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, PKPS turut menawarkan barangan kering jenama Ehsan, minyak peket satu kg serta ikan dan kerang segar di semua lokasi jualan mega.

Pihaknya turut menyasarkan 20,000 pembeli mengunjungi jualan murah sempena musim perayaan sepanjang dua hari penganjuran dengan enam juta rakyat Selangor dijangka menikmati manfaat program berkenaan sehingga hujung tahun ini.

Jualan Mega Rahmah Aidiladha menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur yang dijual murah sempena Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha di Dewan Serbaguna, Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya pada 24 Jun 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN / SELANGORKINI

Program terbabit adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Jualan murah sempena musim perayaan itu menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran bagi membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.


Pengarang :