Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi pada majlis pelancaran jentera pilihan raya HARAPAN Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 24 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Jentera HARAPAN Selangor dilancar, bawa slogan #arusmerahkuning jelajah seluruh negeri

SHAH ALAM, 24 JUN: Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dilancarkan di Dataran Kemerdekaan di sini malam ini.

Disempurnakan Pengerusi HARAPAN Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari di hadapan lebih 2,000 penyokong, jentera berkenaan membawa slogan #arusmerahkuning sepanjang kempen PRN.

Dalam majlis berkenaan Amirudin turut melepaskan konvoi lima pacuan empat roda (4WD) sebagai simbolik pentadbirannya sepanjang penggal ini diikuti pergerakan 56 motosikal yang membawa bendera HARAPAN mewakili semua Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pelancaran mencapai kemuncaknya dengan pelepasan sebuah lori tiga tan dilengkapi skrin yang akan menjelajah ke seluruh pelusuk negeri bagi memaparkan kejayaan dicatat selama ini.

Hadir sama Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim dan Naib Pengerusi DAP Ng Suee Lim.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi pada majlis pelancaran jentera pilihan raya HARAPAN Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 24 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Semalam, DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan sekali gus membuka laluan kepada PRN untuk diadakan.

Selangor antara enam negeri yang bakal melangsungkan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), HARAPAN mendominasi Selangor apabila menang 51 daripada 56 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah HARAPAN memiliki 40 kerusi (KEADILAN-19, DAP-15, AMANAH-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi iaitu DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

 


Pengarang :