Orang ramai membeli ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Pasar Muhibbah Setia Alam pada 16 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan Mega Aidiladha di enam lokasi hujung minggu ini, tawar lebih banyak barangan asas

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 22 JUN: Program Jualan Mega Rahmah Aidiladha yang menawarkan lebih banyak barangan asas termasuk 12,000 ekor ayam dan 6,000 papan telur dijadualkan berlangsung di enam lokasi pada Sabtu dan Ahad ini.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan barangan asas pada Sabtu membabitkan Parlimen Gombak (Padang Awam Batu Caves); Parlimen Pandan (Dewan Serbaguna Jalan H, Kampung Pandan Dalam) dan Parlimen Sepang (Pantai Batu Laut).

Agensi itu turut memaklumkan, jualan sama turut berlangsung pada Ahad di Parlimen Tanjung Karang (Dewan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing), Parlimen Sabak Bernam (Tapak Pasar Sehari Pekan Sabak) dan Parlimen Hulu Selangor (Dataran Niaga Serendah).

Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena Jualan Mega Ehsan Rahmah di Taman Keramat pada 31 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif PKPS memaklumkan agensi itu menambah kuantiti ayam sebanyak 12,000 ekor dengan 2,000 ekor di setiap lokasi, selain menambah barangan lain seperti telur, ikan, beras dan minyak sebanyak 6,000 unit atau pek (1,000 unit setiap lokasi).

Menurut Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, PKPS turut menawarkan barangan kering jenama Ehsan, minyak peket satu kg serta ikan dan kerang segar di semua lokasi jualan mega.

Pihaknya menyasarkan seramai 20,000 pembeli mengunjungi jualan murah sempena musim perayaan sepanjang dua hari penganjuran dengan enam juta rakyat Selangor dijangka menikmati manfaat program berkenaan sehingga hujung tahun ini.

Antara barangan yang dijual pada Program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Dataran Niaga Siantan, Batu Caves pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Jualan Mega Rahmah Aidiladha menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Program terbabit adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.

 


Pengarang :