Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena Jualan Mega Ehsan Rahmah di Taman Keramat pada 31 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah ayam, ikan, telur, beras di sembilan lokasi pagi ini

SHAH ALAM, 13 JUN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) barangan asas seperti ayam, ikan, telur dan beras diteruskan di sembilan lokasi hari ini, bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan JER diadakan Tapak Pasar Lorong 2 Parit 1 (DUN Sungai Burong), Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Pinang Pulau Indah (DUN Pelabuhan Klang), Masjid Taman Subang Perdana (DUN Kota Damansara), Flat Jalan Indah 3/1, Taman Universiti Indah (DUN Seri Kembangan).

Lokasi lain Dewan Palembang Rantau Panjang (DUN Sementa), Taman Sri Intan (DUN Sungai Ramal), perkarangan Masjid Darul Ibadah, Kampung Harmoni (DUN Ijok), Tapak Bazar Ramadan Sungai Buloh (DUN Bukit Melawati), Balai MPKK Kampung Sungai Kelambu (DUN Tanjung Sepat).

Jualan bertujuan meringankan beban rakyat itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lalu dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Pada 31 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

 


Pengarang :