Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 1 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan dapur di DUN Sungai Tua pada Khamis, Isnin ini

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 6 JUN:  Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menganjurkan dua lagi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada 8 dan 12 Jun ini.

Pegawai Pusat Khidmat DUN B Shanmugam berkata program bertujuan meringankan beban rakyat itu diadakan di hadapan Balai Polis Selayang Baru dan Flat Putri Laksamana (12 Jun).

Pegawai Pusat Khidmat DUN B. Shanmugam. Photo AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

“Penduduk DUN Sungai Tua diminta datang awal untuk membeli barangan yang ditawarkan pada jualan murah tersebut.

“Mereka diingatkan membawa beg guna semula, penganjur tidak sediakan plastik. Ini bagi menyokong kempen tiada beg plastik,’’ katanya ketika ditemui selepas program JER anjuran DUN Sungai Tua di Kampung Nakhoda Tengah, Batu Caves hari ini.

Menurut Shanmugam, sejak Januari hingga Mei lalu, DUN Sungai Tua telah menganjurkan 30 program jualan murah dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang telah memanfaatkan lebih 12,000 keluarga.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah yang sepatutnya berakhir pada Mei diteruskan hingga 1 September ini.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 1 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Pengarang :