Penduduk membeli barangan keperluan dapur pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) Parlimen Hulu Selangor di Dataran Niaga Serendah, Rawang pada 25 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan dapur, semak lokasi terkini di media sosial PKPS

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA KUBU BHARU, 25 JUN: Orang ramair disaran menyemak lokasi jualan murah barangan asas dari semasa ke semasa di laman rasmi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Penolong pengurus logistik sektor perniagaan dan pemasarannya berkata lokasi lengkap Jualan Ehsan Rahmah (sebelum ini dkenali Jelajah Ehsan Rakyat) yang diadakan setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum boleh disemak di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Penolong Pengurus Logistik Sektor Perniagaan Dan Pemasaran PKPS, Mohd Hasri Abu Hassan pada pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) Parlimen Hulu Selangor di Dataran Niaga Serendah, Rawang pada 25 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Mereka juga boleh merujuk kepada wakil rakyat kawasan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini program jualan murah barangan asas ini.

“Kita menggerakkan 12 lori ke setiap daerah hampir setiap hari, mengikut jadual ditetapkan.

“Sempena musim perayaan, kita akan gerakkan lori ke 24 lokasi lagi, dua hari sebelum raya sebelum disambung semula pada Isnin depan,” kata Mohd Hasri Abu Hassan.

Beliau berkata demikian pada program Jualan Mega Ehsan Aidiladha peringkat Parlimen Hulu Selangor di Dataran Niaga Serendah, di sini, hari ini.

Pada program itu, Mohd Hasri berkata barangan seperti daging, ayam dan telur paling habis dalam tempoh satu jam setengah sahaja sekali gus membuktikan program jualan murah itu sentiasa dinanti ramai.

“Selain itu, minyak masak satu kilogram, sotong, kerang dan kaki ayam juga habis. Kita memang jangkakan semua barangan cepat habis kerana orang ramai membuat persediaan menyambut Aidiladha,” katanya.

Terdahulu pengunjung beratur seawal 8 pagi untuk membeli barangan yang dijual murah 30 peratus berbanding harga pasaran kerana ia meringankan beban terutama golongan pendapatan rendah (B40).

Pada program itu, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor menawarkan lebih banyak barangan asas antaranya 2,000 ekor ayam dan 900 papan telur selain barangan kering jenama Ehsan.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Penduduk membeli barangan keperluan dapur pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) Parlimen Hulu Selangor di Dataran Niaga Serendah, Rawang pada 25 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Pengarang :