Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli barang keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) peringkat DUN Seri Kembangan di Taman Universiti Indah pada 13 Jun 2023. Foto AMIRUL FAZLI/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Jualan murah negeri terus dapat sambutan, 400 ekor ayam habis kurang dua jam

Oleh Amirul Fazli

SERI KEMBANGAN, 13 JUN: Program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri terus mendapat sambutan apabila 400 ekor ayam terjual kurang dua jam di sini, hari ini.

Dianjurkan di Taman Universiti Indah, barangan asas yang lain seperti ikan kembung, beras, daging beku, telur dan minyak masak juga habis dalam tempoh singkat.

Penolong Pengurus Hartanah Perbandanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Othman Said berkata meskipun program meringankan beban rakyat itu bermula 10 pagi, orang ramai mula beratur seawal 8.30 pagi.

“Semua barangan asas yang dijual ini dengan harga yang begitu murah berbanding pasaran. Kita cuba membawa sebanyak mungkin bekalan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat,” katanya kepada Selangorkini.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Beliau berkata program kendalian PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri, mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta sejak pelaksanaannya.

Susulan sambutan menggalakkan, Pada 31 Mei, program Jualan Ehsan Rahmah yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai

JER menjual seekor ayam standard RM10, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :