Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Jurujual rugi lebih RM500,000 ditipu sindiket pelaburan wang

KUCHING, 6 JUN: Jurujual di sebuah syarikat telekomunikasi membuat laporan polis semalam apabila mengalami kerugian RM524,800 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan wang April lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berumur 33 tahun dari daerah Padawan itu mendakwa dia pada mulanya tertarik dengan skim pelaburan itu yang ditawarkan melalui media sosial Facebook, dan telah menghubungi suspek.

Beliau berkata suspek menerangkan kepada lelaki itu bahawa keuntungan 20 peratus akan diperoleh daripada nilai pelaburan yang dibuat, dan meminta jurujual itu memasukkan wang ke beberapa akaun kononnya sebagai pelaburan.

“Tanpa ragu-ragu lelaki itu melakukan 19 transaksi pindahan wang keseluruhan berjumlah RM524,800 ke tujuh akaun bank berbeza antara 28 April dan 5 Jun lalu. Lelaki itu hanya menyedari telah ditipu setelah suspek gagal dihubungi kemudiannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azman seterusnya menasihatkan orang ramai agar hanya melabur di platform betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.

– BERNAMA


Pengarang :