EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail merasmikan Mini Karnival Mekar dan Jualan Madani di Pangsapuri Kenari, Balakong pada 4 Jun 2023. Foto Facebook Rodziah Ismail
EXCOSELANGOR

Kios jual barangan asas murah manfaatkan 13,000 penghuni flat kos rendah

SHAH ALAM, 6 JUN: Kira-kira 13,000 penduduk di lapan pangsapuri kos rendah dan sederhana di negeri ini bakal menerima manfaat menerusi penubuhan kios atau pasar mini menjual keperluan asas.

EXCO kesejahteraan bandar berkata program Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Selangor (Mekar) membantu penduduk berdaya maju tanpa bergantung kepada kerajaan terutama ketika krisis ekonomi.

“Kerajaan Negeri hanya bertindak sebagai pemula dan pemudah cara, namun komitmen dan penglibatan aktif rakyat ditagih demi memastikan kelangsungannya,” kata Rodziah Ismail di Facebook.

Pangsapuri terlibat ialah Pangsapuri Kos Rendah Taman Dato Hormat, Sijangkang; Pangsapuri Kos Rendah (Blok C) & Sederhana Rendah (Blok A& B), Pandamaran dan Pangsapuri Ruvena Villa, Dengkil.

Turut serta ialah Pangsapuri Kos Rendah Rimau Indah, Kemuning; Perbadanan Pengurusan Anggerik 34, Shah Alam; Apartment Kenari ABCD, Sungai Ramal dan Pangsapuri Prima Cempaka, Kajang dan Pangsapuri Ukay Indah.

Mekar merupakan program pemerkasaan ekonomi komuniti yang menggerakkan penubuhan, pemilikan dan pengurusan kios oleh komuniti setempat melalui platform koperasi.

Menerusinya, orang ramai boleh mendapat pelbagai keperluan pada harga murah, selain boleh menjual produk mereka dan akan dibimbing supaya perniagaan terus berkembang.


Pengarang :