EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berucap pada program Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Karnival kerjaya dapat sambutan, disertai pengunjung luar Selangor

SHAH ALAM, 19 JUN: Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 merekodkan sambutan luar biasa dengan dihadiri pengunjung dari luar Selangor.

EXCO modal insan berkata rekod menunjukkan ada peserta dari Melaka dan Negeri Sembilan sanggup datang untuk menyertai karnival tersebut.

Menurut Mohd Khairuddin Othman, hampir 6,000 pengunjung direkod hadir pada Sabtu tidak termasuk peserta yang tidak mendaftar.

“Antara kelainan yang dibawa ke karnival kerjaya ialah kita mudahkan perjalanan permohonan dengan babit lebih 100 majikan termasuk anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Malah, kita menerima banyak permintaan daripada majikan lain untuk mengikuti program tetapi berasa tidak mahu terlalu gah, dan biarkan keadaan seperti hari ini,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penutup karnival di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Suasana sekitar Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mohd Khairuddin menambah penurunan kadar pengangguran kepada 2.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 2.9 peratus tahun lalu adalah hasil daripada dasar di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Fungsi Kerajaan Negeri adalah menyediakan platform untuk rakyat (karnival kerjaya), kalau ada cerita mengatakan ramai tiada kerja di Selangor, ia tidak benar.

“Kini kadar pengangguran suku pertama tahun ini 2.6 peratus berbanding sebelum ini pernah melebihi empat peratus ketika berdepan Covid-19,” katanya.

Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 pada kali ini melibatkan lebih 100 syarikat antaranya sektor F&B (makanan dan minuman), perkhidmatan, automotif, pendidikan serta perhotelan dan pelancongan.

Pertama kali diadakan pada Jun tahun lalu, penganjuran karnival tersebut membantu seramai 1,996 individu mendapat pekerjaan.


Pengarang :