EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail (tiga,kanan) bergambar selepas perasmian Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM pertimbang ganjaran kepada penduduk laksana kitar semula

SHAH ALAM, 20 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) mempertimbangkan untuk perkenal sistem ganjaran di pusat kitar semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom di sini.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata inisiatif itu bagi memberi galakan kepada penduduk di kawasan itu untuk mengamalkan aktiviti kitar semula.


Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir pada majlis perasmian Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Kerajaan Negeri serta Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd sama ada mahu meletakkan sistem kod imbas QR di pusat kitar semula itu.

“Buat masa ini kita lihat dahulu perkembangan pusat kitar semula ini antara tiga atau empat bulan, selepas itu kita akan tambah baik termasuk mewujudkan sistem ganjaran sebagai memberi motivasi kepada penduduk.

“Kita akan letak pelekat imbasan QR, jadi apabila individu itu meletak barangan kitar semula di sini insentif akan diberi kepada mereka yang berdaftar menerusi imbasan QR berkenaan.

“Jika sambutan menggalakkan, kami rancang meneruskan konsep sama kepada sekurang-kurangnya dua atau tiga lagi lokasi pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula PPR Kampung Baru Hicom di sini semalam.

EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail merasmikan majlis.

Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, KDEBWM memperuntuk RM20,000 bagi pembinaan pusat kitar semula berkonsep ‘drop off’ di PPR Kampung Baru Hicom, di sini yang dibuka sejak 1 April lalu.

 


Pengarang :