Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Dr Nor Fuad Abdul Hamid bercakap kepada media selepas menerima anugerah dalam majlis Anugerah Apresiasi Pelabur Selangor di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 6 JUN 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kemudahan akses pengangkutan bantu tarik pelabur, pacu ekonomi negeri

SHAH ALAM, 7 JUN: Kepelbagaian jaringan pengangkutan di bandar raya ini menjadi daya tarikan kepada pelabur tempatan dan luar negara untuk membangun atau mengembangkan perniagaan di kawasan berkenaan.

Datuk Bandar Shah Alam berkata dengan adanya kemudahan akses pengangkutan golongan berkenaan terus berminat untuk melabur demi kelancaran operasi perniagaan masing-masing terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Faktor pengangkutan menjadi tarikan utama. Shah Alam dikelilingi sistem pengangkutan yang banyak malah akan datang menjadi lebih mudah kerana adanya Transit Aliran Ringan 3 (LRT3). Ini menarik pelaburan.

“Selain itu kedudukan Shah Alam yang strategik juga membantu pelaburan tinggi. Kita berada hampir dengan pelabuhan utama (di Klang) serta lapangan terbang (di Sepang),” kata Dr Nor Fuad Abdul Hamid kepada SelangorKini.

Malam tadi MBSA diumumkan sebagai pemenang kategori lokasi pelaburan utama dari 2019 hingga 2022 sempena Anugerah Apresiasi Pelabur Selangor anjuran Invest Selangor.

Turut mengungguli kategori berkenaan ialah Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Kuala Langat. Anugerah disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Selain kategori berkenaan, majlis tersebut turut menghargai pelabur tempatan dan luar negara yang merekodkan nilai pelaburan tertinggi.

Invest Selangor selaku agensi penggalakan pelaburan turut memberi pengiktirafan khas kepada Hartalega NGC Sdn Bhd dan Nippon Electric Glass (Malaysia) Sdn Bhd susulan komitmen dan pencapaian luar biasa.


Pengarang :