Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 7 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Politik stabil, kemasukan pelabur penentu kejayaan sistem gaji progresif

SHAH ALAM, 7 JUN: Kejayaan Malaysia menuju sistem gaji progresif banyak tergantung kepada kestabilan politik negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata secara dasarnya pelbagai kementerian sedang terlibat dalam perbincangan mengenai sistem gaji progresif di negara ini.

“Isu yang kita hadapi sekarang adalah masalah gaji dalam kalangan belia. Inilah yang sedang dibincangkan oleh pelbagai kementerian bahawa kita sedang menuju gaji progresif.

“Kita harap dengan kerajaan baharu Malaysia Madani ini pelaburan akan datang ke negara dan akan tingkatkan ekonomi seterusnya (boleh) minta majikan perhalusi dan ambil kira perkembangan ekonomi dan pastikan gaji belia lebih baik.

“Kestabilan politik, kerajaan yang stabil penting untuk pastikan nasib anak muda terbela di masa depan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar Dato’ Mohd Shahar Abdullah yang mahu tahu usaha kerajaan dalam memastikan belia di negara ini menerima gaji lebih bermaruah.

Sebelum ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di negara ini iaitu peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Mustapha berkata kadar pengangguran negara menunjukkan trend penurunan kepada 3.5 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding suku keempat 2022 iaitu 3.6 peratus.

Katanya kadar pengangguran belia bagi suku pertama 2023 juga menurun satu peratus kepada 10.1 peratus berbanding 11.1 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 


Pengarang :