Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media khas sempena 5 tahun pentadbirannya di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerajaan sementara pastikan tatakelola dipelihara, perkhidmatan negeri lancar

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 24 JUN: Pentadbiran Kerajaan Selangor kekal berfungsi sebagai kerajaan sementara bagi memastikan tatakelola, ketelusan dan kebertanggungjawaban dipelihara meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerajaan sementara juga penting untuk memastikan program dan dasar negeri terutamanya sistem perkhidmatan kerajaan tetap berjalan dengan efisien.

“Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) akan melaksanakan fungsi sebagai pengerusi jawatankuasa tetap portfolio masing-masing supaya keputusan dasar yang dibuat sebelum pembubaran diimplementasikan dengan sempurna, tanpa membuat perubahan dasar ataupun keputusan substantif yang baharu.

“Bagi memastikan prinsip ‘good governance’ terus diangkat, saya telah mengarahkan EXCO supaya kereta rasmi tidak digunakan semasa menghadiri program dan mesyuarat politik.

“Dalam pada itu, semua EXCO akan menyerahkan semula kereta rasmi sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Selangor 2023,” katanya di Facebook.

DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan semalam untuk membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Isnin lalu selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.


Pengarang :