Keadaan di sekitar Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang mula beroperasi bagi Fasa Pertama dari persimpangan Cheras-Kajang ke Bukit Antarabangsa ketika tinjauan pada 14 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Keterangan lelaki lawan arus di Lebuhraya SUKE selesai dirakam

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Polis selesai mengambil keterangan suspek yang menunggang motosikal melawan arus di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) semalam, yang menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kejadian 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata polis juga selesai mengambil keterangan saksi iaitu operator kamera litar tertutup (CCTV) SUKE dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) juga pada semalam.

Beliau berkata keadaan suspek ketika ini dilaporkan stabil dan masih lagi dirawat.

“Selain itu, kedua-dua kenderaan terlibat telah dihantar untuk pemeriksaan PUSPAKOM dan Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, kertas siasatan kes terbabit akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor dalam tempoh terdekat setelah selesai siasatan.

Dalam kejadian tengah hari 14 Jun lalu, mangsa Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE dengan ketinggian 30 meter akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

– BERNAMA


Pengarang :