Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam temu bual bersama media di Putrajaya pada 8 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM sasar tiada peningkatan obesiti menjelang 2025

SHAH ALAM, 12 JUN: Kementerian Kesihatan menyasarkan tiada peningkatan kadar obesiti di negara ini menjelang 2025.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata setakat ini kadar obesiti negara berada pada tahap 15 peratus berdasarkan kes penyakit tidak berjangkit (NCD).

Beliau berkata Kementerian Kesihatan telah menetapkan sasaran indeks petunjuk prestasi utama (KPI) khusus untuk penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi menjelang 2025.

“Kita sasar pengurangan tekanan darah sebanyak 25 peratus, penggunaan garam 30 peratus, tiada peningkatan kadar obesiti kekal bawah 15 peratus dan 10 peratus aktiviti fizikal tidak aktif.

“Bagi kencing manis, kerajaan membuat pemantauan melalui pengukuran paras glukosa dalam darah setiap tiga bulan dan keputusan menunjukkan 31.89 peratus pesakit diabetis mencapai kawalan baik iaitu kurang 6.5 peratus,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berhubung sasaran kerajaan bagi memastikan Malaysia keluar daripada kategori bukan negara sihat.

Terdahulu, Zaliha memaklumkan isu utama kerajaan pada masa kini adalah menangani masalah diabetes, peningkatan obesiti dan hipertensi.

Katanya, kadar obesiti meningkat kepada 19.7 peratus pada 2019 berbanding 17.7 peratus pada 2015, begitu juga diabetis iaitu 13.4 kepada 18.3 peratus bagi tempoh sama.

“Bagaimanapun kadar hipertensi kekal iaitu 30.3 peratus pada 2015 kepada 30 peratus pada 2019.

“Kerajaan mengambil serius isu ini dengan perkenal Agenda Malaysia Sihat yang merangkumi empat teras iaitu pemberdayaan hidup sihat, perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, kawalan kesihatan kendiri dan kebersihan persekitaran,” katanya.


Pengarang :