EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (tiga, kanan) menyerahkan peralatan untuk kegunaan penduduk kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Baja Jalil Anak Long (tengah) di Kampung Orang Asli Bukit Raja, Dengkil pada 8 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 100 lampu solar dipasang di kampung Orang Asli, tok batin disaran segera mohon

SEPANG, 8 JUN: Lebih 100 lampu diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar dipasang di beberapa perkampungan Orang Asli sejak 2021 demi keselamatan penduduk.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata antara kawasan di daerah Sepang yang sudah dipasang kemudahan itu termasuklah Kampung Orang Asli Kelingsing, Kolam Air Bangkong, Bukit Tunggul dan Bukit Dugang.

“Selain itu, turut menerima kemudahan sama di Kampung Orang Asli Donglai, Hulu Langat; Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Kuala Langat dan Kampung Orang Asli Songkok, Hulu Selangor.

“Walaupun tidak banyak tetapi ia membantu kawasan yang gelap terutama di jalan masuk dan tempat-tempat berkumpul,” katanya selepas merasmikan Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Baja di sini hari ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (depan tiga, kanan) bergambar bersama selepas lawatan ke Kampung Orang Asli Bukit Raja, Dengkil pada 8 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Berikutan itu, Loy Sian menyarankan pemimpin perkampungan Orang Asli dan tok batin membuat permohonan supaya kerja pemasangan dapat dilakukan segera.

“Peruntukan memasang lampu solar ada di mana-mana kawasan kampung Orang Asli yang memerlukan, pemimpin atau tok batin hanya perlu memohon sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menerusi Belanjawan 2023 memaklumkan sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi pembangunan Orang Asli.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pihaknya memberi tumpuan bagi projek-projek membina dan menaiktaraf kediaman serta membaik pulih kemudahan infrastruktur sedia ada di perkampungan Orang Asli.


Pengarang :