Peserta menghadiri majlis perasmian Seminar Garis Panduan Penubuhan Pusat Jagaan, Rawatan Ibu Selepas Bersalin dan Bayi di Empire Hotel, Subang Jaya pada 8 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

38 pusat jagaan ibu bersalin di Selangor, galak pengusaha daftar niaga

SUBANG JAYA, 8 JUN: Sebanyak 38 premis dikenal pasti menyediakan khidmat jagaan ibu bersalin di negeri ini dengan tujuh daripadanya tidak mempunyai lesen sah.

EXCO kerajaan tempatan berkata 17 premis beroperasi sekitar Subang Jaya namun lima daripadanya menghentikan perniagaan susulan penularan Covid-19.

Menurut Ng Sze Han, empat premis lagi di Shah Alam, lima di Klang, Kajang dan Petaling Jaya manakala dua lagi masing-masing di Sepang dan Hulu Selangor.

“Kita yakin banyak lagi premis yang menjalankan operasi ini namun tidak berdaftar. Jadi program hari ini sebagai galakan kepada pengusaha mendaftar kerana pusat ini penting terutama untuk ibu yang pertama kali melahirkan anak.

“Dengan adanya garis panduan ini pengusaha akan lebih faham selain memudahkan mereka memohon lesen. Mereka juga diberi nasihat lanjut termasuk pemilihan tempat dan aspek lain,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan seminar garis panduan penubuhan pusat jagaan, rawatan ibu bersalin dan bayi di Hotel Empire di sini.

Sze Han menambah dasar yang dikeluarkan Selangor bakal menjadi panduan kepada negeri lain demi memastikan industri terus berkembang.

“Dasar ini jelas. Kita gariskan beberapa perkara penting termasuk lokasi sesuai. Jadi pengusaha boleh menilai lokasi mereka sama ada bersesuaian dengan keperluan pelanggan atau tidak.

“Secara amnya dasar ini turut meliputi kebajikan 24 jam pelanggan seperti terapi, rawatan, penjagaan rapi dan makanan yang dapat memulihkan ibu,” katanya.


Pengarang :