Gambar hiasan perbicaraan mahkamah
AGENDAJENAYAH

Lelaki didakwa bunuh teman wanita hamil

SUNGAI BESAR, 1 JUN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita hamil minggu lepas.

Muhammad Fakrul Aiman Sajali, yang berusia 20 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Benteng Laut, Jalan Sungai Limau di sini pada kira-kira 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi 23 Mei lepas.

Bekas pelajar kolej itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Ku Hayati Ku Haron manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Kashim dan Muhammad Nor Tamrin.

Khairul Anuar memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin namun Siti Hajar berkata beberapa dokumen perlu diserahkan oleh pihak pendakwaan kepada mahkamah terlebih dahulu.

Siti Hajar menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-T kuning tiba di pekarangan mahkamah diiringi beberapa anggota polis dari Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) pada 8.55 pagi.

Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau di sini, 22 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintenden Agus Salim Mohd Alias dilaporkan berkata suspek yang merupakan bekas penuntut kolej membawa mangsa menaiki kereta dan bertengkar dengan wanita itu, sebelum mangsa dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam.

– BERNAMA


Pengarang :