Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mahasiswa, belia bawah 20 tahun dapat RM200 mulai hari ini

SHAH ALAM, 26 JUN: Bantuan RM200 dikreditkan ke akaun belia berumur antara 18 hingga 20 tahun dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang layak bermula pagi tadi.

Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penerima memanfaatkan bantuan menerusi eBeliaRahmah untuk pembelajaran dan keperluan masing-masing.

“Program eBeliaRahmah diluncurkan hari ini dan anak-anak muda serta mahasiswa yang layak sudah boleh mendaftar untuk menerima kredit berjumlah RM200 melalui pelbagai plaform e-dompet.

“Saya amat berharap wang ini dimanfaatkan sebaiknya oleh kalian untuk pembelajaran dan keperluan masing-masing,” katanya di Facebook hari ini.

Pada 21 Jun, Anwar memaklumkan pendaftaran dan tuntutan program boleh dibuat menerusi Boost, Setel atau Touch ‘n Go eWallet mulai 26 Jun sehingga 22 Ogos depan.

Penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut akan memberi insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai dan diskaun mata ganjaran sepanjang program tersebut.

Bantuan kredit itu juga boleh dimanfaatkan di kedai peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.

Untuk maklumat lanjut layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/ebeliarahmah.htm.


Pengarang :