Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengunjung Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: 5,000 kakitangan kontrak negeri diserap ke jawatan tetap

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebanyak 5,000 daripada 7,000 penjawat awam lantikan kontrak kerajaan Selangor diserap ke jawatan tetap setakat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata jumlah itu menunjukkan kadar penyerapan ke jawatan tetap adalah tinggi bertepatan saranan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor (SPN).

“Kebanyakan diserap adalah individu berpengalaman daripada pelbagai jawatan antaranya Pegawai Tadbir Diplomatik yang sebahagian besarnya diserap oleh perjawatan peringkat persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di sini hari ini.

Amirudin berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah tidak melaksanakan praktis pekeliling Dasar Pelantikan Tetap Penjawat Awam Bertaraf Kontrak namun pekeliling tersebut tidak dibatalkan.

Beliau berkata pelantikan tetap menerusi pekeliling tersebut juga sudah tidak menjadi amalan di kebanyakan negeri.


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya ingat, mungkin ada salah faham bila kita batalkan pekeliling, ia jadi isu. Negeri lain tidak batal pekeliling dan tidak melaksanakan pun. Itu maklum balas awal, biar saya dapatkan (maklumat lanjut) daripada JPA,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menyemak semula keputusan pembatalan dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat lebih 15 tahun dan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Jumaat lepas untuk dibincangkan, dan keputusannya akan dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

– BERNAMA


Pengarang :