Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 Jun 2023. Foto ARIF MUHAMMAD/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB bidas fitnah PAS, buktikan bahas usul tanah rizab Melayu

SHAH ALAM, 15 JUN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyanggah fitnah PAS Selangor berhubung kegagalan pentadbiran negeri membahas usul tanah rizab Melayu (TRM) di Selangor.

Berkongsi penyata rasmi Dewan Negeri Selangor (DNS), beliau menegaskan usul tersebut dibentang dan dibahas beberapa wakil rakyat dalam persidangan pada 17 Mac lalu.

“PAS Selangor, hentikan fitnah dan penipuan. Usul berkenaan tanah rizab Selangor telah dibentang dan dibahas di DNS pada 17 Mac 2023. Ini adalah hansard (penyata rasmi) dewan negeri.

“Yang tidak bahas ialah wakil rakyat PAS. Jangan putar belit dan menipu rakyat Selangor,” katanya di Twitter menjawab dakwaan parti itu hari ini dengan melampir keratan penyata rasmi usul tersebut.

Dalam penyata berkenaan, Amirudin memaklumkan lebih 80 peratus pengambilan TRM melibatkan kemudahan awam seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lebuh raya.

Beliau menambah pentadbiran negeri turut mengubah dasar penggantian tanah rizab beberapa tahun sebelum 2020, dengan mempertimbang nilai tanah, bukan hanya saiz semata-mata.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin juga memberitahu sidang dewan penggantian tanah untuk pembinaan KLIA di Hulu Selangor membabitkan keluasan lebih 1,200 ekar akan dilengkapkan tahun ini.

“Adalah yang sangat baik agar PAS melaksana tabayyun (selidik) terutama dari wakil mereka sebelum menyerang dengan galak, seperti istilah ‘pengecut’ tetapi tidak berani tanda (tag) saya untuk mendapat jawapan,” katanya.

PAS Selangor menerusi Twitter mendakwa Kerajaan Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) gagal menggantikan 4,650 ekar tanah rizab, selain memindahkan 15 ekar kepada bukan Melayu.

Parti berkenaan turut menyindir HARAPAN yang lebih berminat membahaskan Laporan Ketua Audit Negara dalam Parlimen berbanding membawa isu tanah rizab dalam sidang dewan negeri.

Usul itu dibawa Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan dibahaskan ADN Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin dan ADN Dengkil Adhif Syan Abdullah, tidak termasuk celahan beberapa wakil rakyat.

Berdasarkan penyata rasmi tersebut, ADN Sijangkang yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi tidak membahaskan usul berkenaan.


Pengarang :