Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis perhimpunan penjawat awam dan pemimpin masyarakat di bangunan pentadbiran negeri pada 23 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAPILIHAN MINGGUAN

MB: Kejayaan terbaik ekonomi negeri hasil kerja berpasukan

SHAH ALAM, 27 JUN  – Pengiktirafan terhadap prestasi terbaik ekonomi negeri sejak 2008 hasil kerja berpasukan termasuk EXCO dan penjawat awam, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, kejayaan tersebut dicapai melalui ketekunan dan perancangan bersama hingga meletak Selangor sebagai enjin ekonomi negara seterusnya menjadi negeri terunggul di Asia Tenggara.

“Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada setiap individu yang memainkan peranan yang begitu penting bagi merealisasikan kejayaan ini.

“(Saya) yakin bahawa era kegemilangan Selangor hanya dapat diteruskan apabila pentadbiran ini
diamanahkan mandat baharu dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya di sini hari ini.

Amirudin dalam kenyataan juga menjelaskan pencapaian itu menjamin kemakmuran negeri sebagai gedung ekonomi Malaysia dan menjadi paksi kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah kejayaan tersebut turut membuktikan keyakinan masyarakat pelabur dalam dan luar negara terhadap pentadbiran negeri paling maju di Malaysia itu secara telus dan adil.

Katanya, hasil usaha pentadbiran negeri memudah cara urusan perniagaan membantu penduduk Selangor untuk terus mempunyai peluang pekerjaan bergaji tinggi.

Pada 12 Jun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak penjawat awam mempertahan Selangor berikutan prestasi cemerlang ekonomi negeri berkenaan sekali gus menjadi induk ekonomi negara.

Beliau juga menyeru kakitangan kerajaan yang menjadi tonggak pembangunan dan ekonomi negeri supaya berani mengembalikan maruah dan imej Malaysia sebagai sebuah negara hebat di rantau ini.

 


Pengarang :