GOMBAK, 11 JUN: Pimpinan belia negeri ini harus berani menyuarakan pandangan dan mempunyai iltizam yang kuat dalam menentukan masa depan mereka.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan itu juga harus cakna dengan kepelbagaian situasi dan cabaran semasa dalam mendekati pelbagai kelompok belia.
“Adalah satu cabaran (pimpinan belia masa kini) untuk memastikan keterhubungan antara kelompok anak muda dan belia yang sangat rencam berbanding zaman sebelum ini.
“Sebab itu saya memberi cabaran supaya pimpinan belia mempunyai keberanian untuk menyuarakan pandangan mereka dan (mempunyai) iltizam atau keazaman yang kuat untuk menentukan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Belia Negara (HBN) Selangor 2023 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/PSX_20230611_131651-500x334.jpg.webp)
Amirudin menjelaskan pimpinan belia masa kini tidak boleh menjadi pemimpin yang hanya mengikut acuan atau situasi dicipta orang lain.
“Harus fahami keresahan dan krisis melibatkan anak muda masa kini dan cakna dengan kepelbagaian kelompok belia.
“Ini masa anda untuk mengisi nilai bersatu dan berpadu dalam kalangan belia sekaligus menyiapkan lapisan kepimpinan masa depan,” katanya.