Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Makan Malam Amal Sejahtera Sentosa di Hotel Premiere Klang pada 2 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Projek bangun Sabak Bernam sumbang 30 peratus KDNK negeri

KLANG, 3 JUN: Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang merupakan salah satu Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bakal dilancar pada 9 Jun ini, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau yakin projek itu mampu meningkatkan sumbangan untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri kepada 30 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2026.

“Insya-Allah, kita akan lancarkan SABDA pada 9 Jun iaitu Jumaat minggu depan yang mana kita yakin projek ini dapat merancakkan lagi ekonomi bukan sahaja di Sabak Bernam tetapi seluruh Selangor juga.

“Dengan adanya beberapa elemen seperti SABDA dan Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) saya yakin sumbangan kepada KDNK negara dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada satu hingga dua peratus.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima anugerah Sentosa People Award pada majlis Makan Malam Amal Sejahtera Sentosa di Hotel Premiere Klang pada 2 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Justeru, kita yakin 30 peratus boleh capai, jika tidak mampu kita akan usaha sebaik mungkin sebab ini salah satu untuk peluang jana ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam Amal Sejahtera Sentosa anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di Hotel Premiere di sini malam tadi.

SABDA yang terkandung dalam RS-1 membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi atas kawasan berkeluasan 1,317 hektar, dijangka memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.

Antara projek utama SABDA adalah pembangunan kompleks pendaratan ikan Sekinchan, pembinaan rehat dan rawat (R&R) serta pusat perniagaan air manis.


Pengarang :