Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pecah tanah Laman Lestari di Bandar Sultan Suleiman, Klang pada 26 Jun 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Tempoh PRN lebih panjang tidak jejas pendapatan negeri

KLANG, 26 JUN: Jangkaan tempoh pilihan raya negeri (PRN) yang lebih panjang sekitar Ogos depan diyakini tidak akan menjejaskan pendapatan Selangor, maklum Dato’ Menteri Besar.

Bersedia mendepani tempoh itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini meluluskan lebih 450 kertas kerja bagi menangani perkara terbabit.

Beliau menjelaskan pentadbiran negeri tidak mahu mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum 2018
dengan perolehan hanya RM1.8 bilion berbanding pencapaian biasa RM2.4 bilion.

“Siapa jangka (PRN pada Ogos)? Kalau Ogos, tidak apa. Kita pun ada masa lebih panjang untuk menyusun, merangka dan memilih. Saya ingat baik panjang atau pendek, ada baiknya.

“(Risiko) kita sudah atasi sebahagiannya. Dalam MMKN khas, kita luluskan lebih 450 kertas kerja. Pengalaman lalu apabila berlaku pilihan raya, kertas kerja lambat (lulus) sebab masa tidak sesuai,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis pecah tanah pembinaan kuarters pekerja berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan kerajaan sementara perlu berhati-hati dan tidak boleh meluluskan hal berkaitan tanah berikutan ia dianggap sebagai perubahan dasar.

Beliau turut memaklumkan Selangor merekodkan rizab simpanan berjumlah RM3.4 bilion setakat dua bulan lalu melalui Akaun Hasil dan Akaun Amanah disatukan.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan diadakan Ogos ini.

 

 

 


Pengarang :