PBTSELANGOR

MBSJ pelawa orang ramai sertai perlumbaan basikal 9 Julai ini

OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

SHAH ALAM, 30 JUN: Sempena Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mempelawa orang ramai menyertai acara berbasikal Endurance Challenge V2.0 pada 9 Julai ini.

Menurut kenyataan penganjur acara Colorbar Universal Solutions, perlumbaan acara bakal berlangsung di Jalan Persiaran Kemajuan Subang Jaya bermula jam 7 pagi.

“Cabaran tersebut diilhamkan oleh Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim selepas menyaksikan kejayaan perlumbaan sempena Selamat Pagi Subang Jaya (SPSJ) sebelum ini.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha majlis tempatan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, selain inisiatif yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon,” katanya dalam kenyataan.

Endurance Challenge V2.0 terbuka kepada semua dan dibahagikan kepada lima kategori iaitu terbuka lelaki, master lelaki, veteran, terbuka wanita untuk kategori basikal jalan raya dan kategori terbuka untuk kategori basikal lipat atau gunung.

Tambah kenyataan itu, semua penunggang dikehendaki menamatkan sebanyak mungkin pusingan dalam gelung 2.1km dalam masa 2 jam bagi kategori basikal jalan dan basikal lipat atau gunung.

Cabaran ini menawarkan lima pemenang terbaik dalam setiap kategori pingat, hadiah wang tunai dan e-sijil.

Peminat dan keluarga juga akan diberi ganjaran dengan peluang memenangi hadiah hebat dalam cabutan bertuah tajaan MBSJ.

Selain itu turut diadakan pertandingan Run Bike Championship bagi mencungkil bakat si cilik berusia dua hingga 9 tahun.


Pengarang :