Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tengah) serta EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni (lima, kiri) bergambar bersama peserta Konvensyen Islam dan Melayu Karamah Insaniyah Teras Pembentukan Jati Diri Umat di Auditorium Dewan Jubli Perak di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 14 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Jati diri kukuh, disiplin dan berilmu penentu kebangkitan Melayu

SHAH ALAM, 14 JUN: Kebangkitan semula bangsa Melayu hanya mampu dicapai sekirannya bangsa itu mengukuhkan jati diri, kata menteri pendidikan.

Fadhlina Sidek berkata tekad itu perlu disertakan dengan disiplin, berilmu dan semangat majukan diri yang menjadi teras kekuatan bangsa untuk terus mensyiarkan agama Islam.

Beliau berkata Melayu pernah menjadi bangsa yang terkenal malah disegani di seluruh dunia dengan kepintaran ilmu lautan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap dihadapan ratusan peserta Konvensyen Islam dan Melayu Karamah Insaniyah Teras Pembentukan Jati Diri Umat di Auditorium Dewan Jubli Perakdi bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 14 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dahulu ada pelayar dari alam Melayu menguasai ilmu lautan, simbol laut, isyarat, arah tuju, arah angin. Jadi maknanya Melayu boleh gemilang tetapi kena kukuhkan jati diri.

“Jadi ini masa cukup baik untuk kita tentukan bagaimana mahu jadi penunjuk arah kepada semua umat khususnya berkenaan Islam dan Melayu,” katanya berucap pada majlis penutup Konvensyen Islam dan Melayu hari ini.

Terdahulu, program anjuran Institut Darul Ehsan yang berlangsung di Dewan Jubli Perak di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini dirasmikan EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai buku yang dijual sempena Konvensyen Islam dan Melayu Karamah Insaniyah Teras Pembentukan Jati Diri Umat di Auditorium Dewan Jubli Perak di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 14 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Memuji penganjuran program berkenaan, Fadhlina berkata segala resolusi yang dibincang perlu disampaikan kepada seluruh rakyat supaya dapat difahami dengan lebih jelas.

“Perbincangan hari ini menunjukkan betapa kita perlu berani dan kembali kepada soal pengukuhan akhlak serta bagaimana cara mengukuhkannya.

“Ini perlu supaya karamah insaniah menjadi satu agenda dalam kalangan rakyat. Bangsa Malaysia dan Islam perlu terus kukuh dan kuat,” katanya.

 


Pengarang :