Pelajar sekolah menutup kepala menggunakan buku ketika pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya ketika tinjauan Media Selangor susulan cuaca panas yang melanda negara pada 11 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Tiada had masa, pelajar boleh pakai baju sukan ke sekolah  

SUBANG JAYA, 14 JUN: Pelajar dibenar terus memakai baju sukan ke sekolah sehingga diberitahu sebaliknya, kata Menteri Pendidikan Fadlina Sidek.

Menjelaskan tiada had masa untuk pemakaian itu, beliau berkata kementerian memberi kelonggaran itu kepada semua pihak sehingga ada pengumuman baharu kelak.

“Pakai terus hingga kita buat pengumuman lain nanti. Kita akan maklumkan dari masa ke semasa.

“Cuaca pun masih panas lagi. Kita bagi ruang dulu hingga cuaca benar-benar sesuai,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus bersama yayasan seluruh negara di sini malam tadi.

Fadhlina percaya kebenaran itu memberi kelegaan dan kegembiraan kepada ibu bapa pelajar, malah ada antara mereka mahu pelaksanaan itu dikekal meski keadaan cuaca bertambah baik.

Pada 3 Mei lalu, Kementerian Pendidikan memberi kebenaran untuk memakai pakaian atau baju sukan semasa cuaca panas bagi mengelakkan masalah kesihatan kepada guru dan pelajar.

Tali leher juga tidak diwajibkan bagi pelajar yang kekal berpakaian seragam.


Pengarang :