SHAH ALAM, 5 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa menyelenggara sistem perparitan sekitar Bandar Bukit Raja, Klang bagi mengelak kejadian banjir kilat berulang.
Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau berkata langkah sama juga perlu dilaksanakan pemaju perumahan sekitar kawasan terbabit dengan memastikan aliran air lancar.
“Saya pernah isukan perkara ini. Minta pihak berwajib memandang serius isu sampah serta longkang sekitar kawasan berkenaan. Jika tidak diurus sebaik mungkin akan berlaku banjir kerana longkang dipenuhi sampah.
“Semalam, berlaku banjir kilat di beberapa lokasi malah sehingga hari ini ada air termenung di beberapa kawasan. Kita sedang usaha mengepam air ini keluar,” katanya kepada Selangorkini.
EXCO kebajikan itu juga berkata hujan lebat selama beberapa jam itu turut menjejaskan hampir 20,000 rumah sekitar Klang Utama dan Bukit Raja.
“Ada kediaman dinaiki air sehingga 0.5 meter. Jadi mereka terpaksa keluar dan berteduh di surau, masjid serta rumah jiran yang selamat.
“Isu bantuan kepada mangsa banjir ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Malam tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hujan lebat awal pagi semalam menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekitar Klang.
Bagaimanapun kerja pengepaman yang dilakukan segera berjaya mengawal air naik dan surut pada sebelah petang.