Oleh SHAMZ JOHAN
SHAH ALAM, 15 JUN: Sebuah kilang menjalankan aktiviti memproses plastik terpakai dekat Lorong Laksamana 31D, Taman Sentosa, Klang dikompaun kerana beroperasi tanpa lesen sah.
Menurut Majlis Perbandaran Klang (MPK) operasi pada Selasa lalu itu dilakukan susulan aduan orang awam berhubung bunyi bising dari premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen yang sah dan tidak mempunyai Kebenaran Merancang dan Sijil Layak menduduki,” kata MPK menerusi Facebook.
Dalam operasi sama, sebuah premis di Jalan Astaka 5/ku2, Bandar Bukit Raja, Klang yang menjalankan perkhidmatan mencuci kereta turut dikompaun atas kesalahan sama.
“Premis tersebut yang beroperasi tanpa lesen itu telah menyebabkan jalan di lorong belakang rosak dan berlubang. Kompaun diserahkan kepada wakil premis,” katanya.
Kedua-dua premis dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil (3) Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (UUK3 PTPP MPK) 2007.