Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri cadang tambah lokasi jualan murah, penuhi permintaan tinggi rakyat

SHAH ALAM, 26 JUN: Lokasi jualan murah barangan asas akan ditambah dari semasa ke semasa terutama selepas sambutan Hari Raya Aidiladha bagi memenuhi permintaan rakyat.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim memaklumkan cadangan itu berikutan hampir setiap lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Kita mahu tambah lagi lokasi jualan murah dan kemungkinan dilaksana selepas Aidiladha. Bagaimanapun, kita perlu berbincang dahulu bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor. Jika semua berjalan lancar, kita akan umum,” katanya kepada Selangorkini.

Jualan murah yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat menawarkan pelbagai barangan keperluan barangan asas pada harga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.

Program yang dijenamakan semula pada 1 Jun lalu akan diteruskan hingga Disember tahun ini, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Seramai empat juta rakyat negeri ini menerima manfaat daripada program tersebut sejak Setember tahun lalu, dengan kadar penjimatan sebanyak RM23 juta.


Pengarang :