KUALA LUMPUR 20 JUN: Usaha Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan miskin tegar seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 kini melalui proses mengumpul data serta mengenal pasti peserta dan projek yang sesuai.
Beberapa kaedah digunakan untuk mengenal pasti mereka yang terlibat agar tiada yang tercicir, tanpa mengira latar belakang kaum.
Di KEDAH, Pegawai Daerah Bandar Baharu Datuk Elmi Yusoff berkata pihaknya sedang mengenal pasti isi rumah miskin tegar untuk disenaraikan ke dalam program itu.
“Untuk mengenal pasti golongan ini, beberapa kaedah digunakan antaranya mendapatkan maklumat melalui penghulu atau penduduk di mukim-mukim serta pegawai zakat daerah… selain itu, kita juga mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Peruntukan itu daripada Kementerian Ekonomi, jadi di peringkat daerah kita akan bantu mengenal pasti kumpulan sasar. Tambahan pula, kita lebih tahu dan kenal penduduk daerah masing-masing dan apabila dapat senarai itu nanti kita akan tengok dan bantu…,” katanya.
Pegawai Daerah Langkawi Datuk Abdul Gafar Yahya berkata pihaknya menyambut baik inisiatif berkenaan dan telah bersedia di peringkat daerah bersama institusi penghulu, pentadbiran mukim dan kampung.
Iltizam Kerajaan Perpaduan adalah untuk menoktahkan kemiskinan tegar dengan segera, membantu kira-kira 130,000 orang rakyat tersusah untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh tanpa mengira latar belakang kaum.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan inisiatif itu.
“Kami masih menunggu perinciannya daripada Kementerian Ekonomi melalui Pejabat Pembangunan Negeri, bagaimanapun sehingga sekarang masih belum ada sebarang peruntukan yang diterima,” kata Abdul Gafar.
Di TERENGGANU, Pegawai Daerah Setiu Ahmad Rizal Mamat berkata pihaknya bersama agensi pelaksana koridor Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) telah menyiapkan kertas kerja untuk memohon peruntukan sebanyak RM9 juta bagi menjalankan projek tanaman cili di daerahnya.
“Pada akhir bulan lepas (Mei), agensi pelaksana ECER telah angkat kertas kerja tersebut ke Kementerian Ekonomi dan kemungkinan ia telah diluluskan dan (peruntukan) akan disalurkan ke agensi pelaksana ECER, buat masa ini kami belum terima sebarang peruntukan untuk menjalankan projek tersebut.
“Kalau ikut jadual, projek berkenaan dijangka bermula September ini. Itu adalah projek pertama yang kami angkat untuk gunakan peruntukan yang disebut Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023 fokus untuk basmi kemiskinan tegar,” katanya menambah terdapat beberapa projek lain yang dirancang dan masih dalam peringkat penyediaan kertas kerja.
Pegawai Daerah Kemaman Ahmad Farhan Abdul Wahab pula berkata pihaknya kini masih dalam fasa perbincangan bagi mengenal pasti projek tanaman dan kaedah yang sesuai untuk dijalankan menggunakan peruntukan khusus yang diumum Perdana Menteri itu.
“Saya dah kenal pasti 100 ekar (lebih 40 hektar) tanah untuk projek basmi kemiskinan yang akan dijalankan bersama agensi pelaksana ECER di Kemaman.
“Selain itu, pejabat daerah juga sedang menganalisis data kemiskinan untuk kenal pasti potensi Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar yang boleh dibantu untuk keluarkan mereka dari status kemiskinan,” katanya.
Di KELANTAN Ketua Jajahan Tumpat Rusdee Abdullah dan Ketua Jajahan Kota Bharu Mohd Anis Hussein turut mengakui bersedia melaksanakan apa-apa projek untuk membasmi kemiskinan di jajahan masing-masing.
“Setakat ini tiada peruntukan diterima namun makluman mengenai program bagi menoktahkan kemiskinan sudah ada. Malah, peserta yang akan menyertai program berkenaan juga akan diambil menerusi senarai eKasih,” kata Mohd Anis.
Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah di seluruh negara dalam masa terdekat yang antara lain bagi membincangkan tentang usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar di negara ini.
— BERNAMA