Oleh NAZLI IBRAHIM
Kerajaan Selangor sentiasa berusaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan keselesaan penggunanya.
Sehubungan itu, kualiti jalan raya terus dipertingkat dengan penambahbaikan kerja penyelenggaraan.
Agensi Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) melalui Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) diberi tanggungjawab menyenggara jalan negeri seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
Ia membabitkan 2,443 jalan dengan panjang 4,197 km, meliputi sembilan daerah dalam negeri ini.
Anak syarikat KSSB itu telah membaiki 53,207 lopak dan lubang antara 2021 sehingga 31 Mei lalu di semua sembilan daerah negeri ini.
Sebanyak 11,905 kerja tampalan dilaksanakan di Petaling, Kuala Langat (8,843), Sabak Bernam (7,815), Klang (7,548), Hulu Langat (5,203), Sepang (3,712), Kuala Selangor (4,687), Gombak (2,431) dan Hulu Selangor (1,063).
Bagaimanapun, kerja itu hanya membabitkan jalan negeri diselia JKR dan Infrasel. Penyelenggaraan lebuh raya pula di bawah tanggungjawab syarikat konsesi masing-masing.
Manakala jalan persekutuan dibiayai serta disenggara oleh kerajaan persekutuan melalui syarikat Roadcare Sdn Bhd. Selain itu, ada juga jalan raya diuruskan pihak berkuasa tempatan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/03/image6-500x375.jpeg)
Kerja pembaikan jalan rosak seliaan JKR dan Infrasel dapat dilakukan dengan pantas hasil penggunaan teknologi baharu yang menjadi sebahagian inisiatif Kerajaan Negeri.
Dilancar pada Mac 2022, teknologi aplikasi Penilaian Jalan Pintar (i-RAA) berasaskan sistem kecerdasan buatan (AI) dan pengesanan dan perluasan cahaya (LiDAR) yang dibangunkan Selgem Sdn Bhd (Selgem). Ia membantu Kerajaan Negeri mengesan kerosakan jalan raya, banjir kilat dan kegagalan cerun yang berlaku.
Aduan di Twitter
Melalui beberapa komponen utama bagi kerja pemeriksaan rutin seperti pengesanan kerosakan jalan melalui dron dan kamera papan pemuka, pendigitalan aset, aduan media sosial dan aplikasi awam mudah alih, i-RAA dilihat sebagai komposisi dibangunkan sistematik dan teratur.
Berkonsepkan pusat sehenti, kawalan sistem AI tersebut dipantau melalui ruangan khas iaitu pusat kawalan terletak di Ibu Pejabat KSSB dan JKR negeri.
Sistem Penilaian Kerosakan Rangkaian Jalan Raya (Road Network Defect Assessment atau RONDA) turut diperkenalkan Selgem bagi membantu JKR dan Infrasel menjalankan kerja penyelenggaraan jalan melalui data kerosakan jalan diperoleh daripada sistem tersebut.
Anak syarikat KSSB yang diamanahkan menyelenggara jalan negeri di Selangor sejak 2021 selepas diberikan konsesi JKR, sudah memperkenalkan pelbagai kaedah meningkatkan perkhidmatannya bagi keselesaan pengguna.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/image0-500x375.jpeg.webp)
Antaranya pengaduan jalan rosak oleh pengguna melalui aplikasi Twitter. Aduan dibuat dengan menangkap gambar jalan berlubang melalui telefon pintar.
Kemudian ciapan aduan bersama gambar dimuat naik di Twitter @infrasel_kjp. bersama hashtag #infrasel #namajalan #daerah
Aduan itu disalur ke pusat kawalan bersepadu. Dari pusat kawalan, aduan kemudian dimaklumkan kepada pihak berwajib mengikut lokasi jalan berlubang itu.
Dalam tempoh 24 jam, kontraktor bertindak menampal jalan yang diadukan menerusi Twitter.
Secara tidak langsung, sistem pengurusan dan penyelenggaraan jalan menjadi lebih cekap dan pantas, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.