Orang ramai hadir mencari peluang pekerjaan sempena Selangor Mega Job Fair 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 17 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemuda tempuh perjalanan tiga jam buru peluang di karnival kerjaya

SHAH ALAM, 17 JUN: Seorang pemuda sanggup menempuh perjalanan selama tiga jam dari Kuala Kangsar, Perak demi merebut peluang kerja di Karnival Kerjaya Mega Selangor.

Ahmad Muhaimin Ahmad Ridzuan, 25, ditemani bapanya menghadiri temuduga di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, sejurus dimaklumkan kakaknya berhubung karnival yang menawarkan lebih 10,000 peluang kerja.

Ahmad Muhaimin Ahmad Ridzuan

Meski melalui perjalanan jauh, bekas perancang projek di sebuah syarikat telekomunikasi itu enggan mensia-siakan peluang pekerjaan baharu memandangkan sudah hampir sebulan menganggur.

“Selepas kakak saya yang menetap di Klang maklumkan berhubung program ini, saya terus ajak ayah untuk menemani saya cari kerja bersesuaian. Apatah lagi saya sedang menganggur kerana kontrak di syarikat lama sudah tamat.

“Kami bertolak dari sana (Kuala Kangsar) petang semalam. Sebelum hadir, saya buat persiapan rapi dengan mengemas kini resume dan menyediakan dokumen sepatutnya,” katanya menyifatkan karnival anjuran Kerajaan Selangor medan terbaik untuk graduan baharu dan penganggur mencari kerja.

Sharifah Natasha Awla Syed Hamid

Sementara itu, Sharifah Natasha Awla Syed Hamid, 26, mengakui terpegun dengan penyertaan banyak majikan pada karnival tersebut, sekali gus membuka ruang buatnya mendapatkan kerja baharu bersesuaian.

Berhasrat menukar kerja selepas empat tahun berkhidmat sebagai pembantu projek di sebuah syarikat swasta, anak sulung daripada tiga beradik berkata sudah tiba masanya dia keluar dari zon selesa.

“Peluang kerja ditawarkan di sini sangat banyak meliputi pelbagai bidang. Jadi ia peluang terbaik untuk graduan khususnya anak muda yang mahu tukar kerja meneroka benda baharu.

Rabiatul Adawiah Ramdzi

“Diharap saya berjaya pada sesi temu duga nanti dan diterima bekerja oleh syarikat yang menawarkan jawatan dalam bidang saya minati,” katanya yang sebelum ini menuntut dalam jurusan fesyen pembuatan pakaian di sebuah kolej vokasional di Setapak, Kuala Lumpur.

Rabiatul Adawiah Binti Ramdzi, 26, pula berharap ada syarikat yang terlibat dalam karnival itu sudi mengambilnya bekerja berbekalkan pengalaman berkhidmat sebagai pembantu pentadbiran selama setahun.

“Sekarang memang susah mahu cari kerja yang diminati, jadi saya percaya karnival ini jalan terbaik. Lagipun saya sudah biasa buat kerja-kerja pejabat walaupun dahulu belajar dalam jurusan pengkomputeran.

“Sekurang-kurangnya jika dapat kerja baharu, saya boleh tambah pengalaman lain yang akan menjamin masa depan lebih baik,” katanya.

Orang ramai mengunjungi reruai yang terdapat di Selangor Mega Job Fair 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 17 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 yang berlangsung hari ini dan esok.

Edisi kedua penganjuran menampilkan hampir 100 majikan dari pelbagai sektor termasuk perbankan, perhotelan dan hospitaliti, teknologi maklumat, pembuatan dan automotif.


Pengarang :