Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tapak pasar tani Kelana Jaya pada 19 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengusaha kantin manfaatkan jualan murah sejak setahun lepas, jimat kos operasi

Oleh Nas Norziela Nasbah

PETALING JAYA, 19 JUN: Seorang pengusaha kantin sekolah memanfaatkan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Kerajaan Negeri untuk membeli bahan mentah pada harga murah.

Siti Joria Ahmad, 51, berkata dia dapat menyediakan makanan lebih berkhasiat serta dalam kuantiti lebih banyak kepada murid tanpa perlu bimbang kos tambahan.

Siti Joria Ahmad. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Saya memanfaatkan peluang berbelanja di sini (JER) sejak tahun lalu. Bukan sahaja dapat mengurangkan kos bahan mentah tetapi bersyukur dapat menyediakan makanan berkualiti kepada pelanggan termasuk di kantin sekolah.

“Seperti contoh saya sediakan RMT (Rancangan Makanan Tambahan) di sekolah, sukatan makanan dapat diberikan lebih. Alhamdulillah melihat penerima bantuan itu dapat makan dengan baik dan kenyang. Ia memberi satu kepuasan untuk kami,” katanya ketika ditemui di JER Dewan Undangan (DUN) Seri Setia di tapak Pasar Tani Kelana Jaya, hari ini.

Mengusahakan perniagaan bersama suaminya, Siti Joria berharap jualan murah itu dapat diteruskan memandangkan ia banyak mengurangkan bebanan lebih ramai pihak termasuklah golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya

Zaleha Hashim. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Bagi Zaleha Hashim, 60, jualan murah itu amat membantunya untuk mendapatkan keperluan dengan harga jauh berbeza daripada pasaran luar.

“Saya tinggal berseorangan namun hari ini datang untuk turut membeli barang seperti telur dan minyak masak.

“Kudrat tak terlalu kuat tetapi saya cukup semangat untuk membeli barang di JER kerana harganya murah. Saya harap program ini dapat diteruskan kerana banyak membantu golongan seperti saya dalam meneruskan kelangsungan hidup,” kata penerima zakat bulanan itu.

Bagi bapa kepada tiga orang anak, R Tanajeyan, 75, barangan keperluan yang ditawarkan semuanya dijual harga rendah dan rugi jika penduduk sekitar tidak mengambil peluang mendapatkannya.

R Tanajeyan. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Walaupun saya tidaklah pergi ke semua tempat, tetapi jika ia diadakan berdekatan rumah saya pasti tidak lepaskan peluang.

“Barangan yang dibeli adalah mengikut keperluan isi rumah. Saya sangat teruja dapat membeli di sini dan mahu ia diteruskan sampai bila-bila,” kata pesara swasta itu.

JER kendalian PKPS menjual seekor ayam standard RM10, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Menjelang Aidiladha hujung bulan ini, Kerajaan Negeri bercadang menambah penganjuran jualan murah barangan asas kepada 18 lokasi selama dua hari sebelum hari raya

Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tapak pasar tani Kelana Jaya pada 19 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

 


Pengarang :