Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Pengusaha taska rugi lebih RM1 juta ditipu sindiket pelaburan tak wujud

MELAKA, 9 JUN: Pengusaha taska di Bukit Piatu di sini mendakwa kerugian RM1.06 juta selepas terpedaya dengan ajakan lelaki yang dikenalinya menerusi Instagram dalam tempoh kurang dua minggu, untuk melabur dalam pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata wanita berusia 53 tahun itu berkenalan dengan lelaki berkenaan apabila akaun Instagram itu ‘ditag’ oleh akaun Tan Sau Fung didakwa lelaki Taiwan yang kononnya menetap di Jepun, pada 27 April lalu.

“Sejak berkenalan, pengadu sering berhubung dengan suspek melalui talian LINE dan berkomunikasi secara lisan serta SMS sebelum hubungan mereka menjadi rapat dalam tempoh singkat.

“Pada 7 Mei lalu, suspek menawarkan mangsa supaya melabur dengan membeli barang yang kononnya dari Amerika Syarikat menerusi laman sesawang https://everythingmallx.cc/,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa dikehendaki membeli dahulu barang yang hendak dibeli pelanggan sebelum menjual semula untuk mendapat keuntungan 10 peratus bagi setiap barang tersebut.

Zainol berkata akibat terlalu mempercayai suspek, wanita berkenaan telah melakukan 28 transaksi bayaran secara berperingkat ke dalam enam akaun berbeza berjumlah RM1.06 juta dalam tempoh 7 hingga 30 Mei lalu.

Beliau berkata pada 30 Mei lalu, mangsa telah menyemak komisen yang diperolehnya di laman sesawang berkenaan mencecah jumlah US$200,000 namun dia mula curiga dan sedar ditipu apabila diarah membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan komisen tersebut.

Menurut Zainol pada keesokan hari, mangsa cuba mengakses laman sesawang berkenaan namun tidak boleh diakses dan akaun Instagram suspek juga telah ditutup.

“Justeru, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :