Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying bercakap kepada media sempena sesi jelajah Kementerian Pendidikan Malaysia ke Sekolah Menengah Kebangsaan Syeksen 4, DUN Kinrara pada 14 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penuhi keperluan penduduk, dua sekolah baharu bakal dibina di DUN Kinrara

SUBANG JAYA, 14 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal membina dua sekolah kebangsaan baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying memberitahu cadangan pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 5 Bandar Kinrara diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Beliau menjelaskan pembinaan SK Jalan Puncak Jalil 4 pula akan dimasukkan dalam RMK13, yang akan dilaksana secepat mungkin untuk manfaat warga DUN tersebut.

“Sudah ada perkembangan mengenai pembinaan sekolah itu. Menerusi kerajaan perpaduan, kita cuba laksanakan (bina) secepat mungkin,” katanya pada sesi jelajah KPM di DUN Kinrara hari ini.

SK Seksyen 5 Bandar Kinrara dijangka siap dalam tempoh empat tahun dengan kemudahan 36 bilik darjah termasuk kelas bagi prasekolah dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Menerusi Belanjawan 2023, kerajaan memperuntuk sejumlah RM2.3 bilion kepada KPM untuk membina infrastruktur dan menyediakan kemudahan pembelajaran terbaik.

 


Pengarang :