(Gambar hiasan) Telefon bimbit atau telefon pintar. Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Penuntut IPT samun kedai telefon, cederakan pengawal ditahan

IPOH, 15 JUN: Penuntut lelaki sebuah institusi pengajian tinggi ditahan di sebuah kondominium di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Selasa lalu berkaitan kes samun kedai telefon dan mencederakan pengawal keselamatan di Kompleks Menara Condong, Teluk Intan, 3 April lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan hari ini berkata polis percaya dapat menyelesaikan kes yang melibatkan kerugian kira-kira RM300,000 dengan penahanan pelajar berusia 21 tahun itu.

Beliau berkata suspek yang masih bujang didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah namun hasil ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.

Ahmad Adnan berkata suspek juga mengaku terlibat dalam kes itu bersendirian dan hasil penahanan, polis merampas 23 telefon pintar jenis iPhone, satu jam tangan jenama Apple, iPad, beg pakaian, dua pen tablet jenama Samsung, wang tunai RM853, sebuah kereta jenis Proton Wira, satu kunci kereta serta sekeping kad Touch ‘n Go.

“Suspek direman empat hari bermula 14 hingga 17 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 3 April, polis Hilir Perak memburu suspek yang melarikan kira-kira 70 telefon pintar iPhone bernilai hampir RM300,000 dalam kejadian samun di Kompleks Menara Condong, Teluk Intan.

– BERNAMA


Pengarang :