Poster sambutan ulang tahun bandar raya Petaling Jaya ke-17. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

Persembahan artis terkenal Indonesia meriahkan sambutan ulang tahun bandar raya PJ

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 15 JUN: Penampilan artis terkenal Indonesia Firman Siagian dan Nabila Maharani bakal memeriahkan sambutan ulang tahun bandar raya Petaling Jaya ke-17 di Laman MBPJ, 24 Jun ini.

Sekretariat media unit komunikasi korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)  berkata Firman dan Nabila dijadual membuat persembahan pada malam kemuncak sambutan itu, jam 8 malam.

Selain persembahan artis, pelbagai aktiviti menarik disediakan dalam program yang bermula hari ini hingga 25 Jun itu termasuk pelancaran belon udara terbesar dibuat menggunakan plastik sekali guna terpakai.

“Acara dimulakan dengan Kejohanan Bot Kawalan Jauh Antarabangsa di Tasik Bandaran Kelana Jaya bermula hari ini hingga Ahad.

“Sambutan diakhiri dengan program PJ Smart Ride dan PJ Hari Tanpa Kenderaan (pagi) serta PJ Berselawat (malam) pada 25 Jun juga di Laman MBPJ,” katanya dalam kenyataan.

Aktiviti lain yang disediakan kepada pengunjung ialah pertandingan deklamasi sajak, larian PJ 10 kilometer dan pemberian 10,000 anak pokok percuma.

Orang ramai dijemput memeriahkan sambutan. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 03-7956 3544 sambungan 364, 372 atau nombor yang disertakan dalam jadual.


Pengarang :