Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang KEADILAN Lembah Pantai di VE Hotel & Residence, Kuala Lumpur pada 27 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Persiapan KEADILAN hadapi PRN di enam negeri di peringkat akhir

ALOR SETAR, 24 JUN: Persiapan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sudah di peringkat akhir, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata yang tinggal selepas ini adalah untuk membuat keputusan tentang senarai calon parti itu yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri yang terlibat.

“Bila dah sampai tahap itu bermaksud KEADILAN terutamanya sudah pun bersedia dan kalau biasa pengalaman saya 14 tahun sebagai Setiausaha Agung yang ikut membantu persiapan parti untuk menghadapi pilihan raya (sebelum ini), saya tengok bahawa KEADILAN untuk menghadapi PRN berada pada tahap terbaik yang pernah kami sediakan.

“Bercakap tentang prospek KEADILAN dengan calon-calon yang akan kami tampilkan, kami yakin di mana juga kerusi yang akan diumumkan secara muktamad yang akan ditandingi KEADILAN mewakili tiket Pakatan Harapan (HARAPAN), kami yakin kami mampu menyumbang kepada kemenangan HARAPAN dan seterusnya mencukupkan kerusi bagi membentuk kerajaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran jentera pilihan raya KEADILAN Kedah di sini hari ini.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata KEADILAN akan mengadakan taklimat khas berkenaan persiapan parti itu menghadapi PRN, yang akan disertai semua pimpinan tertinggi parti selain Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, di Kuala Lumpur, esok.

Beliau berkata antara perkara yang akan dibentangkan termasuk status rundingan pengagihan kerusi, tahap sokongan terkini rakyat terhadap KEADILAN dan pengagihan tugas kepada pimpinan di negeri-negeri yang tidak terlibat dengan PRN.

“Dalam taklimat esok juga akan dibentangkan tentang strategi kempen PRN yang akan dilaksanakan Keadilan kerana negeri berbeza, strategi berbeza, tiga negeri dikuasai HARAPAN, strategi adalah untuk pertahankan, jadi strategi berbeza dengan Kedah contohnya, yang kami berhasrat untuk menawan, esok disampaikan dalam taklimat itu,” katanya.

Selain Kedah, lima negeri yang turut akan mengadakan PRN dalam masa terdekat adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

— BERNAMA


Pengarang :