Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program “Temu Anwar” di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, Kelantan pada 18 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PM: Salur peruntukan tambahan RM500 juta atasi masalah air bersih di Kelantan

BACHOK, 18 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM500 juta untuk mengatasi masalah air bersih di Kelantan.

Beliau berkata peruntukan itu adalah hasil daripada perbincangan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Kelantan sebelum ini.

“Kita bincang dengan kerajaan Kelantan untuk atasi masalah air bersih. Saya kata nak minta banyak sangat tidak boleh.

“Jadi kita mulakan projek, tetapi perlu dikendalikan bersama dan diuruskan mengikut saluran yang betul,” katanya ketika berucap pada Program ‘Temu Anwar’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, di sini hari ini, yang turut dihadiri lebih 5,000 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM1 bilion kepada Kelantan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu bermula tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan pelajar sempena Program “Temu Anwar” di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok pada 18 Jun 2023. Foto Bernama

Sementara itu seorang penuntut universiti yang ditemui di sini, Nur Syaqirah Abu Bakar berkata usaha kerajaan membantu untuk mengatasi isu air di Kelantan wajar diberi perhatian, kerana isu bekalan air sering menimbulkan masalah yang amat membebankan kepada pelajar, terutama di kampus.

“Kadang-kadang dalam seminggu ada lima hingga enam kali berlaku gangguan air di kampus seperti air keruh dan perlahan. Apabila masalah ini berlaku saya terpaksa masuk lewat sedikit dalam kelas dan ia mengganggu pembelajaran saya,” katanya.

Bagi peniaga Noor Kartini Awang, 35, tindakan Perdana Menteri memberi peruntukan tambahan untuk selesaikan masalah air di Kelantan menunjukkan keprihatinan kerajaan tanpa mengira latar belakang politik dan sebagainya.

“Sangat bagus dan saya rasa gembira dengan pengumuman ini kerana kami rakyat Kelantan sering berdepan masalah bekalan air bersih,” katanya.

Penternak Abdullah Hamid, 63, pula berharap usaha kerajaan membantu Kelantan akan berterusan supaya rakyat dapat menikmati segala kemudahan infrastruktur dan pembangunan seiring dengan kemajuan negara.

– BERNAMA


Pengarang :