Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pengendali perkhidmatan serta tetamu jemputan sempena majlis perasmian Forum Selangor Mobiliti di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 15 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek rintis kenderaan transit di lokasi padat, laluan sempit mulai Julai

SHAH ALAM, 15 JUN: Projek rintis perkhidmatan kenderaan transit atas permintaan (DRT) yang menumpukan kawasan padat di Selangor dijangka bermula pada Julai hingga Disember ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif selama enam bulan bawah fasa pertama Selangor Mobiliti membabitkan pelaksanaan bukti konsep (proof of concept) bagi perkhidmatan itu.

“Menyedari kekangan Bas Smart Selangor sedia ada yang tidak dapat mencapai laluan sempit dan berkepadatan tinggi, Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakan perkhidmatan DRT.

“Jawatankuasa projek rintis DRT akan menilai kebolehlaksanaan projek sebelum diperluaskan ke zon lain pada masa depan. Diharap projek ini membantu menyelesaikan masalah capaian pengangkutan awam di tempat tertentu,” katanya di sini hari ini.

Berucap merasmikan Forum Selangor Mobiliti, beliau memaklumkan perkhidmatan itu dilaksanakan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) serta dikawal selia Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Amirudin berkata operasi perkhidmatan terbabit pula dikendali Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badanbas Coach Sdn Bhd berdasarkan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

“Saya percaya dengan sistem pengangkutan yang baik boleh memenangi hati rakyat dan menjadi negeri idaman untuk diduduki di samping menarik minat pelabur luar dan dalam negara,” katanya.

DRT menyediakan penyambungan perkhidmatan segmen awal dan segmen terakhir dalam sesuatu perjalanan menerusi aplikasi pintar  sekali gus melengkapi usaha ke arah Negeri Pintar 2025.

Selain itu, laluan dan jadual sistem pengangkutan disediakan mengikut permintaan penumpang khususnya pada waktu puncak.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah melancarkan projek perintis van DRT melibatkan peruntukan RM3 juta.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM25 juta bagi memperkasa sistem pengangkutan awam bawah program Selangor Mobiliti dengan RM22 juta diberi kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor.


Pengarang :