Pengunjung menunjukkan barangan yang dibeli pada Jualan Ehsan Rahmah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di Taman Desawan, Klang pada 6 Jun 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Ramai dapat manfaat, penduduk mahu jualan murah diteruskan

OLEH SHAMZ JOHAN

KLANG, 6 JUN: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memanfaatkan pelbagai golongan termasuk berpendapatan sederhana (M40).

Salah seorang pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) Arifin Abdul Latif, 58, memuji inisiatif tersebut berikutan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan turut dirasai banyak pihak.

Dia yang lebih 20 kali menyertai program tersebut turut mengalu-alukan Kerajaan Negeri untuk meneruskan jualan itu bagi membolehkan lebih ramai menerima manfaat.

Arifin Abdul Latif, 58

“Apabila harga barang naik, semua orang terkesan. Setiap hari kita akan beli barangan keperluan. Semua rakyat Selangor juga tahu barangan JER paling murah berbanding tempat lain,” katanya ditemui di sini.

Warga emas Mohd Askolan Hassan, 62, turut bersetuju jika program tersebut diteruskan berikutan ia meringankan beban rakyat untuk membeli barangan dapur pada harga lebih murah.

“JER mendapat sambutan baik kerana harga ditawarkan sangat rendah. Hampir kesemua barang bernilai RM10, jimat hampir RM40 sekali beli. Memang patut diteruskan,” katanya.

Sementara itu, wakil pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa M Mahendran memberitahu sebanyak 25 kali program tersebut diadakan di kawasan berkenaan sejak awal tahun.

M Mahendran

“Pihak DUN sasar sekurang-kurangnya sebulan sekali anjur jualan murah. Kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meneruskan JER, tanda keprihatinan terhadap rakyat,” katanya.

Dalam jualan murah yang berlangsung di Taman Desawan, Klang pagi tadi, lebih 500 ekor ayam dan 300 papan telur terjual dalam tempoh kurang dua jam selepas program bermula pada 10 pagi.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Layari pautan linktr.ee/myPKPS untuk mengetahui lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :